Oleh AZIAN AZIZ
GOMBAK, 10 DIS: Dato’ Menteri Besar sedang mempertimbangkan untuk memberi tanah milik Kerajaan Negeri kepada Kompleks Pendidikan Al Amin bagi membesarkan bangunan sekolah persendirian itu.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tanah seluas dua ekar itu terletak bersebelahan dengan kompleks pendidikan tersebut.
“Ada permintaan daripada pihak Al Amin untuk dapatkan tanah dan saya sedang melihat statusnya (tanah itu).
“Saya rasa tak ada halangan untuk beri bantuan tanah kepada sekolah,” katanya selepas melancarkan Karnival Al Amin di Kompleks Pendidikan Al Amin di Batu 8, Jalan Sungai Pusu hari ini.
Karnival tersebut yang disertai 1,000 orang termasuk murid, guru dan ibu bapa diadakan bagi mengutip dana untuk pembinaan bangunan sekolah tambahan empat tingkat dengan kos RM7.5 juta bagi kegunaan murid sekolah rendah.
Kompleks Pendidikan Al Amin menempatkan bangunan sekolah untuk pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah yang keseluruhannya berjumlah 1,200 orang.