Aksi peserta pertandingan mengawal motosikal dalam program Anak Muda Tolak DARVIH : RSX150R dan RA150R 2022 di Perkarangan Stadium Shah Alam pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gadis naik motor 4 pagi dari Johor ke Shah Alam demi kempen banteras dadah, alkohol

SHAH ALAM, 10 DIS: Seawal jam 4 pagi Nur Fatina Syahira Jemaat, 19, bertolak dari Batu Pahat, Johor semata-mata mahu menyertai program Anak Muda Tolak DARVIH (Dadah, Alkohol, Rokok, Vape, Inhaler dan HIV) : RSX150R dan RA150R 2022 ‘Day Out’ di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

Nur Fatina yang bekerja sebagai pembantu klinik adalah antara 4,000 peserta yang menyertai program menghimpunkan peminat motosikal jenis Honda RSX dan RA150R dari seluruh negara.

Nur Fatina Syahira Jemaat

Menurutnya dia bersemangat kerana pertama kali menyertai program permotoran anjuran Kerajaan Negeri dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor itu.

“Saya pertama kali sertai program ini. Seronok sangat, tidak terasa letih dan penat menunggang motosikal.

“Banyak pengisian aktiviti di sini. Selepas ini saya akan cuba datang setiap tahun bersama rakan-rakan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Asyraf Sulaiman, 33, berkata dia tidak pernah gagal menyertai program yang dianjurkan sejak 2017 itu.

Mohd Asyraf Sulaiman

Dia yang bekerja sebagai kakitangan awam sanggup mengambil cuti sejak Khamis lalu dan berkonvoi dari Kuala Terengganu, Terengganu bersama 40 lagi rakannya.

“Program ini menarik kerana di sinilah kami dapat berkumpul mengeratkan silaturahim dan berkenalan bersama rakan-rakan baru,” katanya.

Program berkenaan diadakan mulai jam 8 pagi sehingga 6 petang.


Pengarang :