AGENDAJENAYAH

39 anggota sindiket bangunkan laman web dan aplikasi perjudian ditahan

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Polis menumpaskan satu sindiket membangunkan dan menyelenggara laman web dan aplikasi perjudian dengan penahanan 39 anggota sindiket itu di sekitar ibu kota pada 28 Februari lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata semua yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun melibatkan 22 lelaki dan 10 wanita tempatan, lima lelaki dan dua wanita warga asing.

“Berdasarkan maklumat risikan, sindiket ini beroperasi di sebalik dua syarikat teknologi maklumat dan pengaturcaraan komputer bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Selain itu syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan membangunkan laman web yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan secara dalam talian dan aplikasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam serbuan berkenaan polis merampas antaranya 30 unit komputer riba, sembilan unit komputer, 47 telefon bimbit dan sekeping pasport.

Katanya mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4 (1) (c) dan 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

– BERNAMA


Pengarang :