Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima bantuan Hijrah Selangor ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengusaha makanan teruja permohonan modal niaga lulus kurang dua minggu

HULU LANGAT, 4 MAC: Seorang peniaga makanan teruja apabila permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan skim i-Bisnes diluluskan tidak sampai dua minggu.

Mohamad Syarif Mohamad Nasser, 36, berkata beliau mengetahui mengenai skim pinjaman yang disediakan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) daripada rakannya.

“Saya sudah lama tahu mengenai skim ini, tetapi baru tahun ini saya rasa mahu cuba kerana perniagaan tahun ini agak sukar sedikit.

“Saya tidak sangka permohonannya amat mudah. Saya akan gunakannya sebagai modal untuk kembangkan perniagaan terutamanya menjelang Ramadan ini,” katanya yang menerima pinjaman RM10,000.

Mohamad Syarif antara lima penerima skim i-Bisnes yang diraikan sempena Jelajah Selangor Kita Penyayang peringkat Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Balakong di sini, hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai gunting rambut, R. Indra Devi, 54, berkata ini merupakan pembiayaan kedua beliau selepas pinjaman pertama sebanyak RM5,000 selesai pada 2017.

“Kali ini saya membuat pinjaman sebanyak RM10,000 untuk membeli kelengkapan gunting rambut dan membuat sedikit pengubahsuaian di kedai.

“Pada pendapat saya, pinjaman ini amat mudah, kadar faedahnya rendah, selain ia turut mempunyai kemudahan simpanan kepada peminjam,” katanya.

Hijrah Selangor melalui pembiayaan Skim i-Bisnes menawarkan modal perniagaan sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan kecil dan sederhana mendapatkan modal pusingan perniagaan.


Pengarang :