Pengunjung membeli barang pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dekat Town House, Kampung Laksamana Permai, Batu Caves pada 15 Mac 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
SELANGOR

DUN Sungai Tua minta PKPS tambah kuantiti produk di JER, lebih ramai dapat manfaat

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 15 MAC: Sebanyak 300 ekor ayam dan 300 papan telur yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini habis dalam tempoh sejam selepas jualan dibuka kepada orang ramai.

Justeru, Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua berkata pihaknya meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menambah kuantiti produk berkenaan supaya lebih ramai penduduk dapat manfaat.

“Kita minta tambah (kuantiti) terutama ayam kerana permintaan tinggi. Kami juga harap minyak botol ditukar kepada saiz yang lebih kecil,” katanya ketika ditemui di Town House, Kampung Laksamana Permai, Batu Caves.

Sementara itu, Penolong Pengurus Ladang PKPS Syaiful Asraf Lokman berkata buat masa ini pihaknya memfokus untuk tambah baik perkhidmatan kepada penduduk terutama menjelang bulan Ramadan.

“Setakat ini, belum ada lagi (pengumuman) untuk tambah kuantiti barang, kita faham pengunjung makin bertambah lebih-lebih lagi bila masuk bulan Ramadan.

“Buat masa sekarang, kita fokus tambah baik perkhidmatan kepada penduduk,” katanya.

Jualan murah PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

 


Pengarang :