SABAK BERNAM, 19 MAC: Seorang buruh menganggap bantuan pembinaan rumah baharu bernilai RM85,000 daripada Kerajaan Negeri diterima sebagai rezeki buat keluarganya menjelang Ramadan ini.
Jamhari Samli, 47, berkata beliau berasa terkejut namun bersyukur apabila dimaklumkan pada 9 Mac lalu akan memperoleh bantuan tersebut bersama empat penerima lain.
“Ia adalah rezeki berganda untuk keluarga saya kerana pada hari mendapat khabar gembira itu bersamaan dengan hari lahir anak kedua saya, apatah lagi kita akan menyambut Ramadan dan seterusnya Aidiliftri.
“Rumah yang kami duduki ini juga sudah uzur. Banyak sangat kerosakan terutamanya di dinding dan bumbung,” kata bapa lima anak itu kepada Selangorkini.
Sementara itu, A Selemal, 64, berkata beliau terharu menerima bantuan daripada Kerajaan bagi membaiki rumah didiaminya.
Menurut warga emas itu, rumah pusaka berusia 45 tahun di Kampung Dato’ Ahmad Said di sini, semakin dimamah anai-anai adalah satu-satunya kenangan kepada mendiang suaminya.
“Rumah saya sudah banyak rosak terutamanya di bahagian dapur. Disebabkan tidak bekerja, saya tidak mampu baiki rumah itu.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi memberi bantuan. Saya akan gunakan wang ini sebaiknya,” katanya.
Jamhari dan Selemal ialah antara lima individu menerima bantuan pembinaan rumah baharu yang diraikan pada Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Sabak Bernam di sini, hari ini.