Penerima bergambar bersama selepas program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya di Dewan Kolej Vokasional, Gombak pada 21 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

64,819 asnaf dapat bantuan zakat lebih RM30 juta sempena Ramadan, Syawal

OLEH DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 21 MAC: Seramai 64,819 asnaf fakir, miskin dan mualaf menerima bantuan lebih RM30 juta yang diagihkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Sarbini menjelaskan sejumlah RM19.39 juta diagihkan kepada 41,770 asnaf miskin, RM9.051 juta untuk fakir dan selebihnya buat mualaf.

Beliau memaklumkan setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 hingga RM1,000 bergantung jumlah tanggungan sesebuah keluarga, yang disalurkan secara berperingkat.

“Bantuan tersebut mula disalurkan hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai (V-Cash) mahupun serahan tunai,” katanya.

Beliau yang ditemui pada program simbolik bantuan di sini hari ini menambah penerima yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas, surat atau pautan ezo.zakatselangor.com.my.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin memaklumkan daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi sebanyak RM5.59 juta kepada 11,799 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelasnya, Klang pula pada kedudukan kedua dengan jumlah agihan sebanyak RM5.44 juta membabitkan 11,743 asnaf sementara Hulu Langat pula sejumlah RM4.43 juta kepada 9,415 asnaf.

“Petaling paling banyak peruntukan dan jumlah penerima kerana ia kawasan yang besar, selain menjadi tempat tumpuan perniagaan dan lokasi paling ramai bermastautin di Selangor,” katanya.


Pengarang :