EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) dan Pengarah kanan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan Jamie Haniff Ramlee bergambar selepas sidang media Pameran Udara Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 21 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor dijadual September, sasar potensi pelaburan RM2 bilion

SHAH ALAM, 21 MAC: Pameran Udara Selangor (SAS) edisi ketiga dijadual berlangsung pada 7 hingga 9 September dengan sasaran potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata pameran di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang menyasarkan kehadiran 12,000 pengunjung serta menarik 50 pempamer termasuk dari luar negara.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim ketika sidang media Pameran Udara Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada 21 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Pameran bertujuan menemukan pemain industri sekali gus menjadi platform untuk mengembangkan lagi sektor ini dalam negara. Setakat ini lebih 67 peratus sektor aeroangkasa negara bertempat di negeri ini.

“Sepanjang program, kita sediakan beberapa segmen antaranya pameran pesawat, jaringan perniagaan, dron, forum selain aktiviti bersiar menaiki helikopter atau ‘joyride’

“Beberapa program pendidikan juga diadakan sebagai pendedahan membentuk kerjaya seperti pengendali dron atau pramugari,” katanya pada sidang media SAS 2023 di sini hari ini.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, Chang Khim menjangkakan penyertaan lebih ramai pemain industri dengan 40 pesawat pelbagai jenis turut dipamerkan.

“Tahun ini kita jangkakan lebih ramai pemain industri sertai. Banyak syarikat sudah menyuarakan hasrat sertai namun permohonan belum dibuka. Mereka kagum dengan penganjuran ini.

“Kita turut mempelawa agensi kerajaan seperti pasukan tentera untuk mempamerkan aset sesuai dengan program. Kita jangka 40 pesawat pelbagai jenis dipamerkan kali ini,” katanya.

Pengunjung merakam gambar sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Usaha menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) itu juga seiring dengan sasaran negeri sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Penganjuran tahun lalu yang berlangsung 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.

Kanak-kanak diberi peluang duduk di ruang kokpit pesawat sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :