Penerima bergambar bersama selepas program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya di Dewan Kolej Vokasional, Gombak pada 21 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bapa tujuh anak syukur dapat bantuan zakat, ringan beban sambut raya

OLEH DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 22 MAC: Seorang bapa kepada tujuh anak bersyukur dan mengakui bantuan dihulurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena Ramadan dan Syawal dapat meringankan bebannya.

Abu Bakar Ahmad,46, yang bekerja sendiri untuk menyara keluarganya berkata bantuan itu akan digunakan untuk membeli baju raya anak-anak.

“Itu yang penting sediakan untuk anak-anak asalkan mereka gembira dan dapat rasai kegembiraan seperti anak orang lain meraikan Aidilfitri.

“Maklum saja saya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, biar persiapan saya hanya ala kadar tetapi paling penting dapat sediakan baju raya untuk anak-anak,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS Dewan Kolej Vokasional Gombak di sini, semalam.

Suri rumah Norzaidah Abdul Rahman,37, pula lega, bantuan diterima dapat menceriakan lagi sambutan hari raya buat tujuh orang anaknya.

Abu bakar ahmad, 46,

“Saya gembira kerana setiap tahun LZS beri sumbangan untuk buat persiapan raikan hari raya.

“Bantuan ini memang dapat ringankan beban kami, bersyukur sangat kerana memang setiap tahun memang akan belikan baju raya mereka dengan bantuan yang diterima. Saya memang utamakan keperluan untuk anak-anak dulu,” katanya.

Sementara Zainuddin Idris, 65, bersyukur dengan bantuan yang diterima memandangkan dirinya sudah tidak mampu bekerja atas faktor usia.

“Pakcik terima bantuan sejak empat tahun lalu memang bersyukur sangat kerana dengan bantuan inilah pakcik buat persediaan sambut Ramadan.

“Bantuan ini meringankan beban kewangan tambahan pula kos sara hidup dan barang semakin mahal ketika ini,” katanya.


Pengarang :