SHAH ALAM, 29 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara prinsip bersetuju mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari selepas mendapat pelbagai pandangan terutama daripada ibu bapa.
Bagaimanapun, Menterinya Fadhlina Sidek berkata ia tidak boleh dibuat segera kerana perlu meneliti beberapa faktor dan justifikasi berdasarkan Akta Pendidikan 1996, lapor Berita Harian.
Beliau menjelaskan KPM juga perlu memastikan setiap subjek dihabiskan mengikut silibus, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan utama seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“KPM juga perlu mengambil kira faktor cuaca tidak menentu dan tahap ekonomi setempat, sebelum mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari.
“Kita juga perlu mematuhi (beberapa aspek), termasuk bilangan persekolahan murid yang tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun,” katanya.
Sesi persekolahan berubah susulan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.