Oleh DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 2 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memperuntukkan RM30,000 untuk masjid melaksanakan pelbagai program dalam usaha mengimarahkan Ramadan tahun ini.
Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan itu diberi kepada tiga masjid dalam kawasannya dengan masing-masing menerima RM10,000.
“Kita salur sumbangan ini supaya pihak masjid dapat bergerak secara bebas untuk bantu golongan memerlukan sepanjang Ramadan ini.
“Kita juga sediakan peruntukan untuk sembilan surau dalam DUN Bandar Utama namun jumlah peruntukan diberi tertakluk kepada aktiviti kemasyarakatan yang pihak surau anjurkan,” katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau operasi jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Cempaka di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain Jamaliah memaklumkan pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pihak masjid untuk menganjurkan program berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
Beliau berkata pihaknya turut bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengedarkan bubur lambuk, kuih-muih dan kurma di beberapa lokasi terpilih sekitar DUN Bandar Utama.
“Di DUN Bandar Utama penduduk berbangsa Cina lebih ramai justeru kita fokus beberapa tempat yang majoritinya kaum Melayu seperti di Kampung Kayu Ara.
“Kita akan anjur lebih banyak aktiviti dan jalin kerjasama dengan pihak masjid di kawasan tersebut,” katanya.