Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Gombak pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DUN Sementa, Balakong, Sabak antara sembilan lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 21 MEI: Program jualan murah barangan asas seperti ayam, ikan dan beras anjuran Kerajaan Negeri diteruskan ke sembilan lokasi esok, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) berlangsung di Sungai Serdang (DUN Sementa), padang besar Desa Baiduri (DUN Balakong) dan tapak pasar malam Pekan Batu 39 (DUN Air Tawar).

Lokasi seterusnya ialah di Dewan Matahari U5 Subang Bestari (DUN Kota Damansara), Surau Al-Azizah Jalan Haji Abdul Aziz (DUN Sungai Kandis) dan gelanggang bola keranjang Taman Klang Utama (DUN Bandar Baru Klang).

Program yang bertujuan meringankan beban rakyat turut diadakan di pekarangan Surau Haji Dahlan Parit 11 barat (DUN Sabak), Batu 8 Jalan Pasar Malam Bukit Kapar (DUN Meru) dan Puncak Alam Fasa 3 (DUN Jeram).

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :