OLEH AMIRUL FAZLI
KUANG, 8 JULAI: Kira-kira 400 penduduk sekitar Parlimen Selayang tidak melepaskan peluang hadir ke program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang berlangsung di Puteri Central Park, Tasik Puteri di sini, hari ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Salasiah Disa berkata semua barangan habis dijual dalam tempoh kurang dua jam termasuk 500 ekor ayam.
“Di DUN Kuang kita telah adakan jualan murah (JER) lebih daripada 20 kali untuk tahun ini dan kesemua jualan itu mendapat sambutan sangat baik daripada pengunjung.
“Saya juga ada dapat maklum balas daripada pengunjung yang inginkan beberapa barangan di tambah. Saya setuju dan kita akan cuba usahakan,”katanya ketika ditemui.
JER kendalian Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kilogram pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.
Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.
Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.
PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.