Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas murah pada Jelajah Ehsan Rahmah peringkat Parlimen Klang di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah, Klang pada 8 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

DUN Bandar Baru Klang anjur 50 kali jualan murah, lebih 20,000 keluarga terima manfaat

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 8 JULAI: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di 50 lokasi serata Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang sejak Disember tahun lalu sehingga hari ini memanfaatkan lebih 20,000 keluarga.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Dr Quah Perng Fei berkata hampir 500 penduduk hadir di setiap penganjuran bagi mendapatkan barangan dapur murah dengan kebanyakkan mereka berharap program ini diteruskan.

Ahli Majlis Perbandaran Klang Dr Quah Perng Fei

“Setiap kali penganjuran tidak kurang 500 penduduk hadir dapatkan barang pada harga murah dan rata-rata mahu ia diteruskan bagi bantu ringankan beban mereka yang terhimpit akibat peningkatan kos sara hidup berikutan harga barangan keperluan melambung di pasaran.

“Kita dengar rintihan rakyat, justeru kita anjurkan sekurang-kurangnya lima program jualan murah di sini setiap bulan supaya rakyat boleh dapatkan barangan mentah berkualiti pada harga mampu milik,” katanya .

Ditemui pada program JER di perkarangan Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah di sini, Dr Perng Fei berkata bercadang menganjurkan empat lagi jualan murah sepanjang bulan ini.

Tambahnya, program yang sering dikunjungi ratusan penduduk itu dimanfaatkan pihaknya untuk menyebarluaskan insentif Kerajaan Negeri seperti Skim Insurans Rakyat Selangor (INSAN), Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Masih ramai yang tidak tahu pentadbiran negeri sediakan pelbagai bantuan untuk kesejahteraan hidup rakyat jadi kita lihat keperluan untuk menguar-uarkan mengenai pelbagai insentif ini agar mereka yang layak mendapat manfaat,” katanya yang turut mengedarkan 500 beg guna semula kepada pengunjung jualan murah.

Dr Perng Fei memaklumkan inisiatif itu bagi meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan menjaga alam sekitar selain menyahut saranan kempen bebas beg plastik.

Ahli Majlis MPK Dr Quah Perng Fei mengagihkan beg boleh guna semula kepada pengunjung Jelajah Ehsan Rahmah di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah, Klang pada 8 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada 9 Mei lalu, menteri sumber asli berkata Kerajaan Persekutuan menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.

Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan langkah itu dilaksanakan secara berperingkat, daripada premis tetap kepada premis perniagaan, termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.

Katanya, kementerian memberi ruang kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan langkah itu, termasuk kadar caj yang akan dikenakan serta kekerapan serahan kutipan bahan berkenaan.


Pengarang :