EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) menyampaikan anugerah peniaga cemerlang Selangor ketika Persidangan Ekonomi Antarabangsa Selangor 2023 di Le Meridien, Petaling Jaya pada 20 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelan pembangunan tersusun, terangkum semua sektor lonjak prestasi Selangor

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor adalah negeri yang mempunyai pelan tindakan pembangunan dalam setiap sektor sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai gerbang utama negara.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata dasar yang mengandungi pelbagai inisiatif, program dan petunjuk prestasi utama (KPI) itu seiring matlamat untuk menjadi negeri maju.

“Saya rasa kita di Selangor, satu-satunya negeri yang ada pelan pembangunan yang jelas merangkumi pelbagai bidang atau sektor.

“Ia membantu kita menjadi lebih fokus kerana ada inisiatif, program dan KPI. Setiap orang akan tahu hala tuju masing-masing dan segala usaha ini menjadikan Selangor sebagai pusat ekonomi terpenting negara,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 25.5 peratus pada tahun lalu membuktikan perancangan itu berhasil.

“Saya kini mampu tersenyum bangga untuk menyatakan bahawa Selangor berjaya menyumbang suku daripada kek ekonomi negara seperti yang dirancang.

“Sebelum ini saya hanya mampu cerita sumbangan KDNK Selangor hampir satu per empat, tetapi sekarang saya boleh berbangga cerita kita sudah capai satu per empat,” katanya.

Bulan lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Selangor kekal sebagai penyumbang KDNK tertinggi bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Chang Kim yang sudah mengumumkan persaraannya berkata, beliau mempetimbangkan beberapa perkara antara menceburi bidang perniagaan, menjadi penulis atau terlibat program keseniaan dan kebudayaan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang itu antara wakil rakyat paling lama berkhidmat di Selangor. Beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) pada 1995 dan menyandang pelbagai jawatan penting negeri.

 


Pengarang :