Orang ramai membawa pulang barangan yang dibeli pada Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang, Ampang Jaya pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung bimbang tiada lagi jualan murah jika teraju negeri bertukar

Oleh AMIRUL FAZLI

AMPANG JAYA, 12 JULAI: Teruja dapat berjimat setiap kali berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER), seorang warga emas berazam untuk turun mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti bagi memastikan Kerajaan Negeri sedia ada kekal mentadbir.

Thannlemy Muthen, 64, mengakui berbaloi berbelanja di jualan murah berkenaan, namun bimbang program kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tidak diteruskan sekiranya tampuk pemerintahan bertukar tangan selepas 12 Ogos nanti.

Thannlemy Muthen, 64 

“Jualan murah anjuran Kerajaan Negeri sangat bagus. Barangan dapur dijual sangat murah berbanding pasaran luar. Sebab itu saya azam turun mengundi bagi memastikan kerajaan sedia ada menang dalam PRN nanti,” katanya yang sering mengunjungi jualan murah berkenaan.

Thannlemy antara 300 pengunjung JER peringkat Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai Taman Sri Ampang, di sini pagi tadi.

Bagi Mamy Su, 52, yang pertama kali berkesempatan mengunjungi jualan berkenaan turut berpuas hati dengan kualiti barangan dan harga yang ditawarkan.

Mamy Su, 52 

“Harga seperti ini sangat membantu saya untuk membeli apatah lagi ketika ini kita perlu berjimat dalam berbelanja,” kata suri rumah itu.

Sementara seorang lagi suri rumah, Nurliza Mustaffa Kamalr, 53, berkata beliau membuat perbandingan harga sebelum hadir ke sini.

Nurliza A Mustaffa Kamalr, 53 

“Ternyata barangan di sini amat murah seperti ayam, telur dan beberapa barangan lain.

“Program jualan murah ini juga amat baik kerana ia telah membantu golongan kurang berkemampuan untuk hadir membeli,”katanya yang turut pertama kali hadir.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Orang ramai membeli barangan keperluan sempena Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :