SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahir penghargaan kepada ahli Dewan di-Raja yang membuat laporan polis pada 14 Julai susulan kenyataan menteri besar Kedah.
Setiausaha sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkata Baginda juga amat berbesar hati atas sokongan ditunjukkan ahli dewan berkenaan serta semua pihak berkaitan.
“DYMM Tuanku juga amat berbesar hati atas sokongan yang ditunjukkan ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” kata Dato’ Mohamad Munir Bani dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu susulan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah, yang dianggap menghina dan mempertikai kewibawaan institusi diraja berhubung pemilihan jawatan Dato’ Menteri Besar.
Terdahulu, Baginda yang menerima menghadap Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan bertitah kenyataan Muhammad Sanusi yang menghina institusi diraja Selangor “masih belum selesai.”
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap perkara tersebut tidak terhenti meskipun Muhammad Sanusi dilaporkan memohon ampun kepada Sultan Selangor.
Wakil rakyat PAS itu juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman pada 14 Julai, dengan mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan salah faham.