Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Hulu Kelang di Melawati Square pada 19 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor maju hasil usaha BN, HARAPAN lonjakkan lagi prestasi

HULU KELANG, 20 JULAI: Kemajuan yang dikecapi Selangor selama ini hasil usaha Barisan Nasional (BN) sebelum prestasinya melonjak selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebahagian besar pembangunan negeri dibawa gabungan berkenaan, yang berpengalaman mentadbir dalam tempoh agak lama.

“Selangor dulu ditadbir siapa? BN… sebahagian besar pembangunan dan kemajuan dibawa Umno dan sekarang kemajuan yang ada dilaksanakan bawah HARAPAN.

“Walaupun kita bersetentang dengan Umno dan BN sebelum ini, kali ini masanya kita bersama kerana masing-masing ada landasan untuk meraikan semua,” katanya pada majlis pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Perpaduan di sini malam tadi.

Berucap di hadapan ratusan penyokong kedua-dua gabungan itu, Dato’ Menteri Besar turut berharap rakyat Selangor menilai kemampuan HARAPAN-BN untuk meneruskan kemajuan di negeri ini.

Amirudin juga mengkritik tindakan tidak bermaruah segelintir pemimpin yang mengkhianati parti hingga terbentuk Perikatan Nasional (PN) serta gagal membawa kemajuan sepanjang 33 bulan mentadbir negara.

“(Rakyat mahu) pembangunan dibawa BN dan kemajuan dibawa HARAPAN bergabung serentak atau ingin pilih PN, sebuah kerajaan yang terbukti tidak layak untuk mentadbir Selangor?

“Bila kita sebut begini, dia (pembangkang) kata kita angkuh, sombong, humbankan orang sombong begini. Siapa yang sombong? Orang sombong sebenarnya orang yang tiak sedar diri.

“Mereka diberi peluang jadi kerajaan (tetapi) dengan cara tidak bermaruah lompat, khianat dan tubuh kerajaan 33 bulan jadi kerajaan gagal,” katanya lagi.


Pengarang :