Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Kampung Raja Musa Tanjong Karang pada 19 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM tegaskan pendakwaan terhadap Sanusi atas laporan dewan diraja

KUALA SELANGOR, 20 JULAI: Pendakwaan terhadap ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berdasarkan laporan polis beberapa pihak termasuk ahli dewan diraja Selangor.

Perdana menteri menegaskan Akta Hasutan 1948 ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan digunakan sewenang-wenangnya meski beliau menerima pelbagai cacian dan makian.

“Awak kritik, caci macam- macam terhadap PM, ada saya ambil tindakan? Tidak. Kalau nak saman di mahkamah, saya buat laporan polis tetapi tidak. Saya tidak menggunakan Akta Hasutan.

“Tetapi kalau caci Raja, kena jawablah. Itu hadnya. Raja bukan ketua parti tetapi ketua negeri, negara. Bila perleceh, jawablah,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di sini malam tadi.

Orang ramai menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang melalui skrin gergasi di Kampung Raja Musa Tanjong Karang pada 19 Julai 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan tidak akan bertindak zalim kepada sesiapa termasuk pemimpin PN, sebaliknya menyiasat secara terperinci jika sesuatu kes pendakwaan itu meragukan.

Menurut pengerusi Pakatan Harapan itu, Sanusi dianggap menghina institusi diraja, malah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kes berkenaan belum selesai.

“Polis selesaikan dengan mengambil tindakan. Kalau meragukan, saya akan tanya ketua polis negara. Saya tidak mahu zalim kepada sesiapa baik PAS atau Bersatu. Saya tahu apa itu sengsara duduk dalam penjara.

“Tetapi kalau sudah buat, dia (Sanusi) kena jawab. Dia juga pertikai titah Yang di-Pertuan Agong tidak sebut perpaduan, sedangkan semua tahu ia berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kelmarin, Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan menghasut dalam ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak jam 11 malam pada 11 Julai.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan mempertikai Sultan Selangor melantik Dato’ Menteri Besar dan penubuhan kerajaan perpaduan yang kononnya tidak dititah Yang di-Pertuan Agong.

Bagi kedua-dua tuduhan bawah Akta Hasutan 1948, Sanusi didakwa ada kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang cenderung membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.


Pengarang :