Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek pertanian bernilai tinggi di Sabak Bernam tunggu kelulusan EIA

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri sedang menunggu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan projek tanaman bernilai tinggi di Sabak Bernam.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bawah projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) melibatkan penggunaan tanah gambut yang perlu diambil kira bagi mengelak kesan terhadap alam sekitar.

“Sebahagian besar SABDA kita mahu bangunkan (tanaman) untuk jaminan bekalan makanan. Ia (tanah) mula dikenal pasti dan kita tunggu kebenaran EIA kerana ia melibatkan kawasan tanah gambut.

“(Tanah gambut) satu kawasan sensitif dan kita tidak mahu peranan tanah gambut terkesan apabila kawasan itu dibuat (projek) pertanian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari  dalam sesi Town Hall Rakyat bersama Amirudin Shari di Seksyen 15, malam tadi.

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Amirudin turut memberitahu projek awalan tanaman jagung bijirin sudah dijalankan bagi mengelak rantaian bekalan makanan negeri ini terputus.

“Kita kena kembangkan lebih besar, tetapi pada masa sama kena patuh dengan jumlah serta kawasan yang perlu dikekalkan seperti hutan simpan.

“Namun dengan saiz guna tanah yang agak kecil untuk pertanian, kita juga perlukan peningkatan daripada segi kualiti teknologi untuk pengeluaran,” katanya lagi.

Pada 18 Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Negeri Sembilan bagi melaksanakan projek tanaman jagung bijirin.

Projek di Kuala Langat dan Negeri Sembilan yang menelan kos RM3 juta dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam dan ruminan di Selangor.

Satu lagi projek tanaman jagung bijirin yang diusahakan di atas tanah seluas 300 ekar di Mergong, Kedah sudah membuahkan hasil dan mula diproses menjadi makanan ayam pada Januari tahun ini.


Pengarang :