Replika pesawat kawalan jauh dan dron pelbagai model dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 100 pempamer, syarikat penerbangan sertai Pameran Udara Selangor

SHAH ALAM, 28 OGOS: Lebih 100 pempamer dari dalam dan luar negara dijangka menyertai Pameran Udara Selangor (SAS) edisi ketiga pada 7 hingga 9 September ini.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata antara negara yang sah menyertai Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, German, Republik Czech dan Australia.

“Kita jangka 114 pempamer akan sertai SAS 2023. Jumlah ini hampir sekali ganda lebih daripada jumlah tahun lalu seramai 62 pempamer.

“Kali ini Persekutuan Sukan Udara Malaysia turut menjemput negara jiran termasuk Iran, Thailand, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Indonesia dan Emeriah Arab Bersatu bagi menyertai persidangan sukan udara Asia,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris ketika dihubungi.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, Hasan berkata sebanyak 25 syarikat penerbangan terlibat Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya bagi mengembangkan lagi industri aeroangkasa.

“Pempamer merupakan syarikat terkemuka dalam industri penerbangan. Ada yang sediakan khidmat penerbangan komersial, pengangkutan udara, penyelenggara pesawat atau membekal komponen dan struktur pesawat.

“Pada hari berkenaan syarikat juga menawarkan khidmat nasihat untuk menjalani temu duga termasuk latihan berkomunikasi, persediaan menjawab serta penampilan,” katanya memaklumkan 40 aset akan dipamerkan termasuk pesawat peribadi dan sukan.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Pada Mac bekas EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion dapat dicapai pada edisi kali ini.

Penganjuran tahun lalu yang berlangsung 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.


Pengarang :