Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Ampang Campuran, Ampang Jaya pada 4 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Lembah Jaya sifatkan program JER paling popular, dekat di hati rakyat

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

AMPANG JAYA, 4 SEPT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) antara program meringankan beban rakyat paling popular serta dekat di hati penduduk negeri ini, kata wakil rakyat Lembah Jaya.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata sejak diperkenalkan kira-kira dua tahun lepas, jualan murah barangan asas seperti ayam, ikan dan beras itu sentiasa dinantikan orang ramai.

“Harga barangan yang ditawarkan amat murah sehingga berjaya menarik kira-kira 500 pengunjung setiap kali ia dianjurkan meskipun pada hari bekerja.

Sambutan program ini tidak pernah mengecewakan termasuk hari ini. Saya sifatkan program jualan murah ini paling popular, paling dekat di hati rakyat, paling memberi impak,” katanya ketika ditemui pada program JER di Mesra Ria @Pandan Mesra, Ampang Campuran, di sini hari ini.

ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) bercakap kepada Media Selangor selepas meninjau program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Ampang Campuran, Ampang Jaya pada 4 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, beliau berkata program JER berikutnya akan diadakan di Laman Niaga Ampang Water Front pada 25 September ini.

“Lokasi itu dipilih kerana berdekatan dengan pusat khidmat DUN Lembah Jaya dan kita gunakan kesempatan yang ada untuk perkenalkan kepada rakyat supaya mereka tahu lokasi kami.

“Beberapa lokasi lain juga kami sedang pertimbangkan dan ia tidak hanya tertumpu kepada satu lokasi sahaja kerana kalau boleh mahu berlaku adil supaya semua dapat merasai manfaat jualan ini,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Ampang Campuran, Ampang Jaya pada 4 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pengarang :