Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah berdepan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun ketika aksi separuh akhir kejohanan Terbuka Jerman pada 11 Mac 2023. Foto Facebook Team Malaysia
AGENDASUKANKINI

Kecederaan ragut impian Pearly-Thinaah muncul juara Terbuka Hong Kong

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kecederaan kaki kanan yang dialami pemain beregu wanita utama negara Pearly Tan pada set penentuan menentang Indonesia, meragut impiannya bersama pasangan M.Thinaah untuk meraih kejuaraan pertama musim ini, pada aksi final Terbuka Hong Kong 2023, hari ini.

Pada aksi dramatik di Coliseum Hong Kong, Kowloon, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan tewas kepada Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, 21-14, 22-24, 9-21 dalam pertarungan selama 73 minit.

Terdahulu, Pearly-Thinaah bermula cemerlang apabila berjaya mendahului 10-2 sebelum menoktahkan kemenangan set pertama dengan 21-14, namun terpaksa akur dengan kebangkitan pasangan ranking kelapan dunia itu pada set kedua dengan 22-24.

Perlawanan yang diheret ke set penentuan itu bagaimanapun serba tidak menjadi buat pasangan negara, apabila Pearly cedera selepas terjatuh ketika beraksi pada kedudukan 6-18, sekali gus gagal menafikan kehebatan juara Terbuka Malaysia 2022 itu.

Keputusan berkenaan menyaksikan Apriyani-Siti Fadia melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas pasangan Malaysia itu, yang turut tumpas kepada beregu wanita Indonesia itu di Masters Indonesia 2022 dan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022.

Kali terakhir Pearly dan Thinaah meraih kejuaraan antarabangsa ialah pada Terbuka Perancis 2022, Oktober tahun lepas dengan mengejutkan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15.

– BERNAMA


Pengarang :