Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rahmah (JER) DUN Kota Anggerik di Jalan Pulau Angsa U10/15, Seksyen U10, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 400 keluarga terima manfaat program JER, jimat belanja persiapan Deepavali

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 4 NOV: Lebih 400 keluarga menerima manfaat menerusi program jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik yang berlangsung hari ini.

Ahli Majlis Zon 20 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ghandimathi Suppiah berkata pengunjung hadir seawal 7.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran meskipun program Jualan Ehsan Rahmah (JER) hanya bermula jam 10 pagi.

Ahli Majlis Zon 20 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ghandimathi Suppiah. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Pagi ini, ramai juga penganut Hindu datang berbelanja sebagai persiapan menyambut Deepavali tidak lama lagi. Kita harap program JER ini dapat membantu mereka yang menyambut perayaan untuk berjimat.

“Dengan cuaca baik hari ini, pengunjung dapat berbelanja dengan selesa dan apa yang penting mereka daoat menikmati manfaat yang disalurkan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui di program JER yang berlangsung di Jalan Pulau Angsa U10/15, Seksyen U10, Shah Alam.

Bagi pengunjung Krishnama Subramaniam, 52, beliau datang awal untuk membeli bahan mentah hari ini sebagai persiapan perayaan minggu hadapan.

Krishnama Subramaniam. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Saya seorang tukang jahit dan pendapatan sederhana. Tiba musim perayaan, pendapatan sedikit meningkat tetapi saya masih perlu berjimat.

“Dengan jualan murah ini saya dapat mengurangkan kos perbelanjaan menjelang Deepavali,” katanya yang mengakui harga barangan jauh murah berbanding pasaran.

Seorang bapa kepada tujuh orang anak, Rahiman Mat Zain berkata dia pertama kali berbelanja di JER ini kerana lokasi sangat hampir dengan rumah.

“Selama ini dengar daripada rakan-rakan mengenai harga di jualan murah ini. Hari ini baru berkesempatan untuk berbelanja. Memang harga murah dan saya tengok kualiti dan saiz barang sangat berkualiti,” katanya.

Rahiman Mat Zain. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rahmah (JER) DUN Kota Anggerik di Jalan Pulau Angsa U10/15, Seksyen U10, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Pengarang :