EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat capai 88.7 peratus setakat September, babit jajaran SABDA

SHAH ALAM, 17 NOV: Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan tujuh sektor mencapai kemajuan purata 88.7 peratus setakat 30 September lalu.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata jajaran sektor ketujuh yang menuju ke kawasan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) iaitu antara Assam Jawa hingga Tanjong Karang pula mencapai kadar kemajuan 64 peratus.

“Sektor kelima membabitkan Bandar Bukit Raja (Selatan) hingga Bandar Bukit Raja (Utara) telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sabak Sallehen Mukhyi yang ingin tahu mengenai status terkini projek SABDA.

Dalam perkembangan lain, Rizam berkata projek menaik taraf infrastruktur bangunan Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang, Sabak Bernam siap sepenuhnya dengan waktu operasi adalah setiap hari dari 6 petang hingga 10 malam.

“Infrastruktur aktiviti ekopelancongan untuk melihat kelip-kelip di sepanjang tiga kilometer Sungai Panjang ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan pengalaman menarik dan selesa untuk pelancong.

“Projek ekopelancongan Ban Canal merupakan projek yang dijalankan secara berlangsungan dengan acara Karnival Ban Canal akan diadakan setiap tahun bagi untuk mempromosi tarikan pelancongan, produk dan aktiviti di kawasan SABDA,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya projek pertanian Selangor Smart Agro Park (SSAP)@Sungai Air Tawar sedang dalam fasa pelaksanaan dan jenis tanaman yang telah dikenal pasti adalah pembenihan Kelapa MATAG.

“Namun ketika ini tanaman kontan seperti nenas, serai dan jagung dan sedang ditanam mengikut kesesuaian sementara menunggu hasil pembenihan Kelapa MATAG berkenaan,” katanya.

SABDA yang yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bertujuan meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar, SABDA merangkumi enam projek utama antaranya Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

Turut tersenarai adalah projek Pusat Rehat dan Rawat Sabak Bernam, agropelancongan di Sekinchan dan pusat setempat pembinaan serta penyelenggaraan bot atau kapal nelayan di Sungai Lang.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :