AGENDANASIONAL

Kastam patahkan cubaan seludup heroin ke Australia

PUTRAJAYA, 17 NOV: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah jenis heroin seberat 1.013 kilogram bernilai RM86,800 yang dipercayai untuk diseludup ke Australia dalam serbuan di sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan, 6 Nov lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit III, Wong Pun Sian berkata dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit III bersama pasukan Tempur Operasi Medan (Cobra) membuat pemeriksaan terhadap satu palet 36 kotak dagangan komoditi jubin lantai yang mencurigakan di premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan, katanya, 59 peket plastik lut sinar mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin disorokkan di dalam ‘marking label’ bersalut plastik serta diletakkan dalam kotak jubin tersebut.

“Dagangan itu dipercayai dihantar ke premis di Nilai itu untuk proses pembungkusan dan pewasapan sebelum di bawa ke Pelabuhan Klang untuk dieksport.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan cara menyembunyikan dadah dalam peket plastik dan disorokkan di dalam ‘Marking Label bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya’dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wong berkata usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :