Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijrah Selangor, Normaiza Yahya berucap ketika majlis penutup Strategi Super TikTok di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kelas TikTok anjuran Hijrah bantu 390 usahawan jana pendapatan RM1.1 juta

PETALING JAYA, 29 NOV: Kelas strategi pemasaran di TikTok anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya membantu seramai 390 usahawan menjana pendapatan sebanyak RM1.1 juta.

Ketua pegawai operasi Hijrah berkata peserta diajar teknik kreatif menghasilkan kandungan untuk mempromosi produk serta harga jualan di aplikasi tersebut sekali gus menarik minat pembeli.

“Kelas strategi super TikTok dianjur bermula Jun lalu telah memasuki edisi ke-14. Ini antara usaha untuk membantu melonjakkan pendapatan usahawan Hijrah selain tidak hanya bergantung kepada perniagaan secara fizikal.

“Setiap usahawan yang menyertai kursus ini akan dipantau bagi memastikan pendapatan mereka meningkat,” kata Normaiza Yahya selepas merasmikan kelas strategi super TikTok di Hotel TH di sini hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijrah Selangor, Normaiza Yahya menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta ketika majlis penutup Strategi Super TikTok di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata pihaknya bercadang mengadakan beberapa kursus lagi untuk usahawan antaranya berkaitan aspek pembungkusan bagi meningkatkan imej produk.

“Kita bukan sahaja mahu fokus kepada pemasaran digital, tetapi membantu cara meningkatkan kualiti produk. Beberapa siri latihan pembungkusan akan diadakan supaya produk mereka lebih cantik dan menarik,” katanya.

Mengulas lanjut, Normaiza berkata dana sejumlah RM60 juta disediakan pada tahun depan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.

“Kita sasarkan seramai 4,000 usahawan dibantu untuk kembangkan perniagaan. Insya-Allah kita akan susun program bagi memastikan usahawan di bawah Hijrah terus berjaya.

“Setakat ini, seramai 59,000 usahawan membuat pinjaman dan membuat bayaran secara mingguan. Sektor paling tinggi buat pinjaman ialah makanan dan minuman, perkhidmatan dan pembekalan,” katanya.

Setakat Januari hingga September tahun lalu, seramai 5,795 usahawan menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta yang ditawarkan Hijrah.

Hijrah menyediakan skim pembiayaan seperti Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Bermusim, i-Bisnes dan Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

Wakil Ahli Parlimen Petaling Jaya Soo Ooi Keng menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta ketika majlis penutup Strategi Super TikTok di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Peserta bergambar bersama selepas menerima sijil penyertaan ketika majlis penutup Strategi Super TikTok di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :