AGENSISELANGOR

Hijrah pelawa peniaga musim perayaan, buah mohon pinjaman hingga RM20,000

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 17 JULAI: Peniaga musim perayaan atau musim buah-buahan dipelawa memohon modal perniagaan dengan pembiayaan sehingga RM20,000 di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Agensi tersebut memaklumkan pembiayaan i-Bermusim boleh dipohon menerusi mikrokredit.selangor.gov.my atau menghubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.

“Menerusi skim pembiayaan i-Bermusim, Hijrah telah berjaya membantu ramai usahawan di Selangor mendapatkan modal perniagaan bagi menjalankan aktiviti perniagaan di musim perayaan atau  buah-buahan.

“Pembiayaan sehingga RM20,000 yang ditawarkan melalui skim ini amat membantu peniaga-peniaga bagi menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya di Facebook.

Berikut antara syarat kelayakan pemohon:

  • warganegara Malaysia
  • penduduk atau pemastautin Selangor
  • mengundi di Selangor
  • berumur 18 hingga 65 tahun
  • perniagaan sudah beroperasi
  • mempunyai premis perniagaan yang khusus
  • salinan lesen/permit perniagaan yang sah
  • tiada rekod pembiayaan yang tidak baik dari institusi kewangan atau agensi kerajaan
  • terlibat secara langsung dalam perniagaan
  • satu pembiayaan sahaja dalam satu-satu perniagaan perkongsian

Belanjawan Selangor 2023 memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.

Selain i-Bermusim, Hijrah turut menawarkan skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), i-Agro, i-Lestari, dan Go Digital.


Pengarang :