CYBERJAYA, 15 FEB: Tourism Selangor meneruskan siri promosi global ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ dengan menyasarkan kunjungan seramai 1.1 pelancong luar negara tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata kempen destinasi pelancongan Selangor dilaksanakan di pelbagai negara antaranya di Jerman, Korea Selatan, India, Laos, Singapura dan Vietnam.
“Tourism Selangor juga akan menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul 2024 di Korea Selatan, Forum Pelancongan Asean di Laos, Expo Penjagaan Kesihatan Malaysia di Medan, Indonesia dan Singapore Cruise Asia 2024.
“Kempen promosi Selangor di peringkat global akan terus dilaksanakan. Negeri ini memiliki banyak tempat menarik dan kita yakin dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara datang.
“Selain itu, menerusi kempen ini juga kita akan buat promosi silang dan memeterai memorandum persefahaman di negara berkaitan untuk perkenal pelancongan di Selangor,” katanya ditemui Selangorkini.
Terdahulu, Tourism Selangor menganjurkan program terokai alam semulajadi dan makanan Selangor bersama pengamal media melawat beberapa destinasi menarik antaranya Cahaya Lampu Festival di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Taman Kucing Cyberjaya dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.
Pengamal media turut berpeluang merasai menaiki belon udara panas di ladang Farm Fresh di Serdang selain mengunjungi Taman Herba dan Ladang Kelulut di Maeps.
Sementara itu, Penyelia Taman Kucing Cyberjaya Munira Amuary berkata lebih 20,000 pengunjung hadir ke taman perlindungan kucing terbiar itu dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin tahun lalu.
“Taman ini dibuka pada Rabu dan Ahad dan pengunjung berpeluang melihat kucing-kucing ini dirawat di tempat tinggal dengan persekitaran sesuai dan bebas bermain.
“Sejak beroperasi, sebanyak 50 kucing telah diambil untuk dijadikan haiwan angkat oleh pelbagai individu dari serata tempat termasuk Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka,” katanya.