BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Menjelajahi Sekinchan: Makan dan bermain di sawah padi

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 3 JAN: Sekinchan, sebuah pekan yang terletak di daerah Sabak Bernam, diliputi oleh pemandangan semula jadi yang indah dan sawah padi yang subur.

Terkenal dengan daya tarikannya kepada peminat fotografi dan penggemar makanan, pekan yang cantik ini menawarkan lebih dari sekadar pemandangan yang indah. Sertai kami dalam pengembaraan di Sekinchan selama satu hari bersama Tourism Selangor.

Hay!Cafe

Seperti namanya, Hay! Cafe boleh ditemui bersebelahan dengan sawah padi di Jalan Tali Air 5, Sekinchan. Kafe yang dikenali dengan mesra haiwan peliharaan, menyediakan pelbagai menu yang menampilkan hidangan Barat dan Asia, termasuk pilihan seperti Nasi Lemak Berempah, Nasi Ayam Nanban, Aglio Olio, serta pelbagai jenis kopi, teh dan minuman yang menyegarkan.

Sama ada anda bersama keluarga, rakan atau haiwan peliharaan, ini adalah tempat yang terbaik untuk menikmati masa anda. Bagi mereka yang ingin berehat sebentar untuk minum petang, pastikan anda mencuba pelbagai jenis pastri dan kek yang enak, seperti Hazelnut Cinnamon Croissant yang dibakar sendiri serta kek keju daripada buah markisa mereka yang unik.

Seafood D’Bendang

Sabak Bernam, yang terkenal dengan sawah padi yang indah, menawarkan lebih daripada sekadar tarikan landskapnya yang menghijau. Untuk pemburu makanan laut, ini adalah antara tempat yang terbaik! Antara tempat makan yang anda boleh lawati ialah Seafood D’Bendang, yang terletak di Jalan Sawah Ban Site B di Sekinchan, yang menjanjikan pelbagai juadah yang lazat.

Restoran yang dilengkapi dengan penghawa dingin ini memperkenalkan menu “shell out” yang lazat, dengan makanan laut seperti udang krai, ketam, udang galah dan king crab. Apa yang membezakan restoran ini ialah gabungan masakan dengan gaya masakan Cina yang halal, dengan pelbagai pilihan sos seperti kam heong, telur masin, bawang putih dengan mentega, lada hitam dan sos pedas.

Restoran ini juga sesuai untuk seisi keluarga dengan taman permainan kanak-kanak yang tersedia serta pemandangan dari atas bumbung yang berhadapan dengan sawah padi yang luas. Seafood D’Bendang bukan sahaja tempat terbaik untuk menjamu selera malah tempat yang sesuai untuk meluangkan masa bersama seisi keluarga.

Ye Eco Garden

Terletak di tengah-tengah sawah padi yang luas, anda akan menemui ladang kelapa seluas enam ekar dengan sebuah kafe yang dikenali sebagai Ye Eco Garden. Kafe ini merupakan tempat terbaik bagi  penggemar alam semula jadi, menawarkan pelbagai hidangan yang berkonsepkan kelapa seperti Nasi Lemak Bunga Telang, Cendol Gula Melaka, Kek Kelapa dan Tom Yam Kelapa.

Kafe ini bukan sahaja menghidangkan makanan yang enak tetapi juga menyediakan tempat untuk meluangkan masa bersama seisi keluarga. Di Ye Eco Garden, kanak-kanak boleh bermain di ladang kelapa yang luas, mengimbau kembali suasana dan nostalgia kehidupan di kampung. Sesuai dengan namanya, Ye Eco Garden mengamalkan konsep kelestarian alam sekitar, dengan pembangunan yang lestari untuk kehidupan alam semula jadi di sekitarnya.

Kopi Sawah

Kopi Sawah, yang terletak di Jalan Parit 8 Sungai Leman, Sekinchan, menjanjikan pelbagai jenis makanan dan minuman yang lazat yang mesti dicuba apabila anda berada di pekan ini. Dengan pelbagai seleksi juadah seperti Kopi Sawah, Kopi Melayu, Cendol dan pelbagai menu seperti Laksa Utara, Bee Hoon Sup, Keropok Lekor dan banyak lagi, tempat ini merupakan syurga makanan.

Di sebalik keenakan makanannya, Kopi Sawah juga dikenali sebagai salah satu tempat terbaik untuk pencipta konten di Instagram. Menawarkan pemandangan dari atas bumbung yang menakjubkan, tempat ini sangat sesuai untuk merakam momen OOTD anda dan memberikan ketenangan yang jauh dari hiruk-pikuk kehidupan di kota. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan Sekinchan di Kopi Sawah!

Rainbow Windmill and Swings

Tiba masanya untuk kita melakukan beberapa aktiviti menarik sepanjang lawatan di sawah padi Sekinchan! Tidak lengkap percutian kita tanpa menyimpan kenang-kenangan bergambar di sini. Di Rainbow Windmill and Swings, Jalan Tali Air 4, Sekinchan, anda boleh bergambar di kincir angin, buaian, tangga serta pondok yang berwarna warni. Sememangnya latar belakang yang menarik untuk media sosial anda!

Galeri Padi

Kunjungi Galeri Padi Sekinchan dan pelajari tentang sejarah dan budaya pertanian padi di pekan ini. Bagi meraikan warisan pertanian yang kaya di sini, galeri ini menampilkan pameran tentang proses pertanian padi serta paparan interaktif untuk dinikmati pengunjung. Pengunjung juga boleh mempelajari tentang pelbagai jenis beras padi, dan melihat peralatan tanaman padi tradisional.

Galeri ini juga mempunyai pemandangan sawah padi yang indah untuk mengambil gambar. Di penghujung lawatan, pengunjung boleh membeli beras dan snek tempatan di kedai mereka. Para pengunjung juga wajib mencuba cendol beras perang mereka yang menyegarkan!

Ah Ma House

Ah Ma House, juga dikenali sebagai “rumah nenek” ialah kedai yang terletak di pinggir Sekinchan yang menawarkan suasana yang unik dan nostalgik untuk pengunjung. Kedai ini dihiasi sepenuhnya dengan perabot serta peralatan vintaj dan tradisional yang merupakan artifak sebenar sejak tahun 50-an.

Kedai ini menawarkan kuih kapit asli bersama dengan kuih tradisional Malaysia yang lain, biskut dan pencuci mulut. Ah Ma House menghasilkan produk-produk mereka di kedai tersebut setiap hari bagi memastikan kualitinya terjaga.

Jika anda merancang perjalanan ke Sekinchan, pastikan anda melawati lokasi yang kami cadangkan dan alami kesemua keunikan yang ditawarkan di pekan yang indah ini. Untuk lebih banyak inspirasi perjalanan ke Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan saluran YouTube Tourism Selangor. #PusingSelangorDulu!


Pengarang :