Pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Qatar University pada 16 Januari 2024. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya kini di kedudukan ke-132 dunia, turun dua anak tangga

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Skuad Harimau Malaya berada di ranking ke-132 dunia berdasarkan kemas kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kedudukan terkini itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon turun dua anak tangga apabila sebelum ini berada pada kedudukan ke-130 dunia sejak November tahun lepas, dengan mengumpul 1,110.17 mata selepas ditolak 12.7 mata seperti dipaparkan di laman sesawang www.fifa.com.

Kemerosotan itu sudah dijangka selepas skuad negara tewas dua perlawanan dan mencatatkan keputusan seri pada saingan Piala Asia di Doha, Qatar baru-baru ini.

Pemain Harimau Malaya kelihatan kecewa selepas tewas kepada Bahrain pada perlawanan peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada 20 Januari 2024. Foto BERNAMA

Pada saingan Piala Asia, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan E, membuka tirai saingan dengan kekalahan 0-4 kepada Jordan, diikuti tewas kepada Bahrain 0-1 sebelum seri 3-3 dengan juara dua kali Korea Selatan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia tidak berjaya melangkah ke peringkat 16 terbaik.

Kemas kini ranking FIFA bagaimanapun tidak menjejaskan Malaysia yang kekal berada di tempat ke-23 terbaik Asia dan muncul pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara di belakang Thailand (101) dan Vietnam (105).

– BERNAMA


Pengarang :