Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang dapatkan barangan dapur murah di enam lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 21 MAC: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah diteruskan ke enam lagi lokasi pada Sabtu dan Ahad ini.

Jualan yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari diadakan di pekarangan Masjid Ar Rahman Pandamaran Jaya (Pelabuhan Klang), Taman Villoa Tropika, Kajang (Sungai Ramal) dan Kampung Tanjung Mas (Sungai Pelek) pada Sabtu.

Manakala, pada Ahad JER diadakan Gelanggang Bola Keranjang Wawasan Puchong (Kinrara), pekarangan Masjid Kampung Pendamar (Pelabuhan Klang) dan pekarangan Surau Darul Hidayah Seksyen 7 (Kota Damansara)

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 daripada Malaysia Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :