Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Adi Faizal Ahmad Tarmizi menyerahkan mangkuk tingkat kepada pengunjung di Bazar Ramadan Bandar Rawang. Gombak pada 20 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang
PBTSELANGOR

MPS agih 200 mangkuk tingkat, kempen kurang guna beg plastik di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengedarkan 200 mangkuk tingkat kepada pengunjung Bazar Ramadan Bandar Rawang, semalam.

Bahagian Perhubungan Awamnya memaklumkan agihan bekas makanan itu adalah sebahagian daripada usaha mendidik orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan.

“Tujuan program ini diadakan adalah sebagai simbolik kepada pengunjung untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan.

“Selain itu, menerusi program ini juga dapat memberi kesedaran dan menggalakkan peniaga untuk tidak menggunakan beg plastik bagi membungkus makanan manakala pengunjung pula digalakkan membawa bekas makanan sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, edaran bekas makanan berkenaan disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPS Adi Faizal Ahmad Tarmizi dengan disertai Ahli Majlis Zon 15 Alice Choo Foong Thye dan pengarah-pengarah jabatan.

Menerusi program sama, MPS turut mempromosikan Kempen Jom Makan Sampai Habis, satu kempen kesedaran kepada masyarakat agar tidak melakukan pembaziran ketika berbelanja dan mengurangkan penghasilan sisa makanan.


Pengarang :