RAMALLAH, 18 APRIL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Ghebreyesus memperbaharui gesaan agar memberikan perlindungan kepada semua hospital di Gaza.
Tedros menyifatkan kemusnahan yang menimpa hospital di Gaza sebagai menyayat hati, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Beliau berkata dalam hantaran di platform X, sebelum ini Twitter, bahawa “kami bersama-sama rakan kongsi sedang menjalankan penilaian ke atas situasi di Hospital Al-Shifa dan Hospital Indonesia di utara Gaza,” sambil menekankan proses pengeluaran mayat dari Hospital Al-Shifa masih berjalan.
Tedros menegaskan pekerja kesihatan telah membersihkan jabatan kecemasan Hospital Al-Shifa, mengeluarkan katil terbakar dan keselamatan bangunan tinggal memerlukan penilaian kejuruteraan yang komprehensif, sambil menyatakan Hospital Indonesia kosong dan kerja pembinaan semula diteruskan dalam usaha memulihkannya.
Beliau menggesa bagi gencatan senjata segera, dengan mengatakan ubat utama yang diperlukan penduduk di Gaza adalah keamanan.
Menurut Kementerian Kesihatan, 12 hospital di Semenanjung Gaza beroperasi sebahagian iaitu enam di bahagian utara dan enam lagi di selatan.
Pencerobohan Israel ke atas Palestin mengakibatkan 33,843 kematian dan 76,575 cedera sejak Oktober 2023.
– BERNAMA-WAFA