Penyanyi, Ali XPDC (kiri) bersama isterinya, Sharifah Azwani Syed Joned pada Majlis menyerahan bantuan kerusi roda kepada penyanyi, Ali XPDC di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 18 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Ali XPDC tidak sihat sejak Ramadan, bergantung pada ubat asma

SEPANG, 18 APRIL: Kesihatan vokalis kumpulan rock terkenal XPDC, Ali mula merosot sejak Ramadan lalu dan terpaksa bergantung dengan ubat sedut (inhaler) asma.

Sehubungan itu, Ali,56, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail berkata buat masa ini beliau hanya mampu duduk sahaja kerana mengalami masalah pernafasan agak teruk.

“Kelmarin doktor dari hospital swasta ada datang ke rumah dan menyarankan saya mendapatkan rawatan ke hospital.

“Saya bukan tidak mahu pergi tetapi keadaan yang agak sukar bernafas dan bergerak menyukarkan untuk menunggu lama di hospital selain orang terlalu ramai,” katanya ditemui di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

Sementara itu, isteri beliau, Sharifah Azwani Syed Joned berkata walaupun suaminya alami kesukaran bernafas, Ali tetap berusaha berpuasa penuh pada Ramadan lalu.

“Berikutan sukar bernafas, suami tidak boleh tidur dalam keadaan baring dan perlu duduk sahaja. Malah, waktu puasa juga tiada selera makan tetapi tetap berusaha berpuasa penuh.

“Walaupun tidak dapat melakukan kerja lain, suami tetap mahu ke surau untuk solat tarawih dan berjemaah. Suami minta anak sulung membawanya ke surau menaiki motosikal,” katanya.

Tambahnya, mereka sekeluarga kini bergantung dengan hasil jualan muruku dan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor bernilai RM500.

“Alhamdulillah Ramadan kali ini membuka rezeki kami sekeluarga. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Ali dibawa ke Hospital Serdang menaiki kenderaan rasmi EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah selepas menziarahinya untuk menyampaikan bantuan kerusi roda dan wang tunai.

Keadaan Ali juga meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan sumbangan melalui Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi baru-baru ini.

Sebelum ini, Ali yang mempunyai lima anak mengalami masalah semput dan lemah jantung sejak September 2021.


Pengarang :