KAJANG, 25 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan bersama pemain Selangor FC mengunjungi Downtown Jalan Reko, dekat sini malam tadi.
Antara barisan pemain Gergasi Merah yang menyertai Tengku Amir Shah ialah Faisal Halim, Khairulazhan Khalid, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Sharul Nazeem Zulfakar selain jurulatih Nizam Jamil.
Baginda yang juga pengerusi Selangor FC dan pemain kemudian beramah mesra bersama peminat pelbagai peringkat umur serta bangsa.
Pengurusan pasukan negeri turut membuka rerurai menjual barangan cenderamata antaranya jersi pasukan.
Sehingga Jumaat, Tengku Amir Shah akan berangkat melawat beberapa kawasan antaranya Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang dan Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Gagasan Rumpun Selangor yang membuka tirai di Hulu Selangor pada Februari diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.