SHAH ALAM, 28 APRIL: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi hari ini.
Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Balairaya MPKK Kampung Batu 13 (Kajang) dan Dewan Palembang Kampung Rantau Panjang (Sementa).
Jualan sama turut belangsung di tapak bola keranjang Kampung Baru Kundang (Kuang) dan Kampung Batu Tiga Jalan Bangi (Kajang).
JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.
Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri pada tahun lepas.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.