HULU SELANGOR, 4 MEI: Rata-rata penduduk lega saliran sepanjang 200 meter di Batu 30, Ulu Yam di sini dibersihkan pihak berkuasa baru-baru ini sekali gus mengurangkan risiko banjir.
Warga emas Muda Umar, 78, juga berharap projek mendalam dan melebar longkang diteruskan berikutan air memasuki rumah setiap kali hujan lebat dalam masa kurang 30 minit sebelum ini.
“Terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana membersihkan saliran,” katanya yang menetap di sini lebih 20 tahun.
Kakitangan swasta Muhammad Nabil Abdul Razak, 36, turut mengakui resah untuk meninggalkan kediamannya dalam tempoh lama kerana bimbang rumahnya dinaiki air.
“Harap JPS, MPHS segera bina kolam tadahan air kerana rata-rata penduduk hendak tinggalkan kediaman dalam jangka masa lama risau air masuk dalam rumah.
“Sebelum ini, air kerap masuk rumah setiap kali hujan lebat tetapi selepas dua tahun menetap sini kami membina tembok depan rumah untuk menahan air masuk,” katanya yang bekerja di Petaling Jaya.
Perkara sama dikongsikan penduduk Sahidin Karim, 76, yang lebih 30 tahun menetap di sini apabila mengeluh air masuk ke dapur rumah setiap kali hujan lebat.
“Saya berterima kasih kepada ahli majlis, MPHS dan JPS tetapi harapnya projek tadahan air dapat disegerakan,” katanya.
Sebelum ini, MPHS dan JPS https://selangorkini.my/2024/05/bersih-saliran-elak-bah-di-batu-30-ulu-yam-berulang-bakal-bina-tadahan-air/ membersih saliran sepanjang 200 meter di Batu 30, Ulu Yam di sini bagi mengelak kejadian berulang.
Ahli Majlis Zon 15 Rajasegaran Ramaiah berkata pembersihan itu perancangan jangka pendek sementara projek tadahan air sebagai perancangan jangka panjang siap dibina.