Penjawat awam mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Cuepacs hargai MB ikut persekutuan naik gaji penjawat awam

SHAH ALAM, 4 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Selangor menyatakan penghargaan ke atas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengumumkan penjawat awam di negeri itu turut menikmati kenaikan gaji mulai 1 Disember 2024.

Pengerusi CUEPACS Negeri Selangor berkata pengumuman itu adalah satu pengiktirafan, penghargaan dan kepercayaan kerajaan Madani terhadap keupayaan penjawat awam sebagai tunggak utama benteng negara.

“Keputusan ini memperlihatkan ketegasan dan kesungguhan kerajaan dalam menyokong kesejahteraan penjawat awam yang telah 12 tahun tidak mendapat kenaikan gaji.

“Ini secara langsung memberi semangat kepada kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” kata Zulkifli Mohammad.

Jumaat lalu Amirudin mengumumkan Selangor akan turut melaksana penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam minimum lebih 13 peratus seperti dilakukan kerajaan persekutuan.

Amirudin berkata pihaknya akan mengambil langkah bersesuaian bagi menyelaras tatacara kewangan sedia ada susulan kenaikan berkenaan.

Sementara itu Zulkifli berkata Cuepacs Selangor kecewa dengan tindakan ahli parlimen yang cuba menggagalkan usaha menaikkan gaji penjawat awam melalui undian di parlimen ketika bajet 2025.

“Tindakan ini sangat melampau dan mengecewakan serta jelas menunjukkan kepentingan politik lebih utama berbanding kesejahteraan rakyat yang diwakilinya.

“Cuepacs Selangor mengecam perbuatan ini dan meminta semua penjawat awam menolak pemimpin politik yang cuba menggagalkan usaha menaikkan gaji penjawat awam,” katanya.

Sebelum ini seorang ahli parlimen PN dilaporkan media pada 2 Mei lalu berkata kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi sebarang makna disebabkan kenaikan harga barangan ketika ini.

Sebelum itu, tular video ahli parlimen berkenaan mempersoalkan tempoh kenaikan itu berlaku, yang menggambarkan seolah-olah PN akan menolak kenaikan gaji penjawat awam jika ia dibawa ke parlimen.

Bagaimanapun dakwa ahli parlimen itu video yang tersebar adalah tidak lengkap dan ‘disunting dengan jahat’ demi memesongkan pandangan penjawat awam terhadap PN.

 


Pengarang :