HULU SELANGOR, 8 MEI: Van bakal disediakan sekitar Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan sekali gus mampu meningkatkan ekonomi setempat.
Calon Kerajaan Perpaduan berkata usaha itu merupakan antara fokus yang akan diberi perhatian awal sekiranya memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabtu ini.
“Saya mahu sediakan van pelancongan untuk bawa lebih ramai serta mengembangkan lagi sektor itu. Van akan memudahkan pelancong berjalan selain mengelakkan kesesakan jalan.
“Penduduk yang membawa van juga dapat meningkatkan pendapatan mereka. Jika menang, kita mahu bekerjasama dengan EXCO pengangkutan serta kerajaan Persekutuan bagi menjayakannya,” kata Pang Sock Tao.
Terdahulu Sock Tao, 31, berjalan kira-kira satu kilometer menziarahi rumah penduduk sekitar Kampung Pasir di Kerling termasuk kediaman bekas ketua kampung Hasnan Ahmad yang lumpuh sejak dua tahun lalu.
Beliau yang berbaju kurung hijau turut beramah mesra dan mendengar masalah diadukan penduduk selain memperkenalkan diri sebagai calon nombor dua.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandang tiga penggal Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.
DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.