Skrin telefon pintar memaparkan ikon beberapa aplikasi media sosial. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gara-gara guna aplikasi pandu arah, lelaki sesat enam jam dalam ladang

SIK, 8 MEI: Seorang lelaki tersesat selama enam jam di kawasan ladang getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan di sini selepas menggunakan aplikasi pandu arah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik Zulkhairi Mat Tanjil berkata lelaki berusia 32 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Honda RS hendak pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani selepas beraya di rumah rakan, juga terletak di bandar tersebut kira-kira 11 malam tadi.

“Bagaimanapun aplikasi tersebut membawa lelaki terbabit melalui laluan yang tidak diketahui sehingga tiba di Felda Teloi Kanan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mangsa memberitahu dia tiba di kawasan ladang getah dan kelapa sawit tersebut sekitar 1 pagi sebelum menemui jalan mati dan terpaksa berhenti untuk mencari liputan talian telefon yang terputus.

Menurutnya mangsa kemudian berjaya mendapatkan liputan talian dan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan kira-kira 7 pagi tadi.

Zulkhairi berkata ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan ketakutan, menggigil dan sesak nafas, namun tiada kecederaan pada badan mangsa.

Beliau berkata lelaki terbabit ditemui dalam kawasan tanah merah di ladang kelapa sawit, kira-kira 10 kilometer dari kawasan perumahan di situ.

“Ketika ditemui, motosikal dan pakaiannya dipenuhi selut merah…terdapat kesan gigitan serangga pada badannya. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu tinggal di Pulau Pinang dan pertama kali datang ke Sungai Petani.

-BERNAMA

 


Pengarang :