EXCO Belia Najwan Halimi pada sesi town hall Kembara Jumpa Orang Muda di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 10 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Faisal makin bersemangat meski rawatan panjang selepas tiga kali bedah

SHAH ALAM, 11 MEI: Pemain Selangor FC Faisal Halim dikatakan semakin bersemangat meski pun masih menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital.

EXCO sukan berkata ketika ini pemain kebangsaan itu tidak dibenarkan menerima pelawat dalam tempoh pemantauan selepas menjalani pembedahan ketiga bagi pemindahan kulit (skin allograft).

“Faisal masih lagi ditempatkan di ICU dan berada dalam keadaan stabil namun tempoh dua minggu mendatang ini sangat penting dan kritikal memandangkan prosedur skin allograft ini memerlukan Faisal diasingkan dengan pemantauan rapi dan ketat oleh pasukan perubatan,” kata Najwan Halimi di X.

Semalam, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC berkata Faisal bakal menjalani rawatan pemindahan kulit minggu ini bagi merawat lecur tahap empat yang dialami akibat serangan asid, Ahad lalu.

Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan tatacara rawatan dari Belgium bernilai RM30,000 itu dijangka membantu mempercepat pemulihan atlet terbabit.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Pemain sensasi Red Giants itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.


Pengarang :