Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan ke majlis bacaan yasin dan doa selamat buat Faisal Halim di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang pada 10 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Faisal jalani rawatan pemindahan kulit dari Belgium minggu ini

SHAH ALAM, 10 MEI: Pemain kebangsaan Faisal Halim bakal menjalani rawatan pemindahan kulit (skin allograft) minggu ini bagi merawat lecur tahap yang dialami empat akibat serangan asid, Ahad lalu.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan tatacara rawatan dari Belgium bernilai RM30,000 itu dijangka membantu mempercepat pemulihan atlet terbabit.

“Ini sebahagian daripada tatacara untuk percepat pemulihan. Masalahnya lebih kepada lapisan kulit. Kalau otot, boleh jalani pemulihan (rehabilitasi) dan itu dijangka akan datang.

“Tatacara (pemindahan kulit) kalau ikut pakar bedah, ia dijangka berlaku minggu ini juga,” katanya menerusi rakaman video di media sosial Scoopdotmy.

Menurut semakan di internet, ‘skin allograft’ atau pembedahan pemindahan kulit merupakan rawatan pesakit yang tidak memiliki kulit mencukupi untuk menutup luka terbakar di badan.

Rawatan itu diperlukan untuk menggantikan tisu rosak yang diambil daripada pesakit atau penderma yang serasi dengan penerima daripada segi kumpulan darah dan jenis tisu.

Sementara itu, dalam temu bual berasingan bersama radio Hotfm, Dr Muhammad Hazwan berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan Faisal tidak mampu beraksi cemerlang seperti sebelum ini.

Menurutnya, tumpuan kini diberikan terhadap setiap rawatan yang perlu dihadapi pemain sensasi Red Giants itu, selain latihan rehabilitasi selepas semua tatacara selesai.

“Terlalu awal untuk katakan. Tumpuan kita kepada rawatan. Faisal juga mulakan beberapa pergerakan bola. Perkembangan ini mengikut aturan langkah demi langkah,” katanya.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.


Pengarang :