Pelbagai barangan asas dijual pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sempena Aidiladha, negeri anjur JER mega di enam lokasi

HULU LANGAT, 9 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidiladha dianjur di enam lokasi pada Sabtu dan Ahad minggu depan, untuk meringankan persiapan umat Islam menyambut perayaan.

EXCO pertanian berkata program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Kuala Kubu Bharu dan Pelabuhan Klang pada Sabtu.

Jelas Ir Izham Hashim, jualan murah pada Ahad berlangsung di DUN Pandan Indah, Tanjung Sepat dan Dusun Tua dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Setiap kali menjelang perayaan, Kerajaan Negeri akan adakan jualan mega. Ini memudahkan penduduk mendapat keperluan pada harga lebih murah dari pasaran.

“Jualan ini berskala lebih besar. Kita tambah kuantiti produk contohnya 1,000 ayam dijual setiap tempat,” katanya ketika merasmikan program pemuliharaan sumber ikan darat di Denai Sungai Kebangsaan, berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Sempena sambutan Aidilfitri pada April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawanganpasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :