SHAH ALAM, 20 JUN: Selangor mencatat 27.6 juta bilangan pelancong domestik bagi tahun 2023, tertinggi antara negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata angka itu berdasarkan data dapatan pelancongan domestik pada tahun lepas yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia.
“Tahniah Tourism Selangor dan semua agensi-agensi berkaitan, teruskan momentum ini menjelang Tahun Melawat Selangor 2025,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/tourism-500x333.jpg.webp)
Minggu lalu ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata pihaknya giat mempromosi lokasi menarik bagi mengekalkan status negeri ini sebagai tumpuan pelancong.
Jelas Azrul Shah Mohamad, negeri konsisten mencatat kemasukan pelancong domestik tertinggi dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
Beliau berkata Selangor menerima 10 juta pengunjung domestik pada 2021 dan meningkat kepada 22 juta pada tahun berikutnya seterusnya mencapai 27.6 juta tahun lalu.
Menurutnya angka berkenaan membantu peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri dengan menyumbang sebanyak RM2.571 bilion daripada jumlah keseluruhan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/mb-3-500x500.jpg.webp)