Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama, Klang pada 13 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang beli ayam RM10 seekor, beras 5kg RM13 di empat lokasi esok

SHAH ALAM, 3 JULAI: Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi esok, bermula 10 pagi.

Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di tapak pasar malam Jalan Dato Dagang 39B (Sentosa), dewan orang ramai Kampung Batu 16 (Dusun Tua), parkir Masjid Albakri Bukit Naga Seksyen 32 (Kota Kemuning) dan Taman Impian Indah Matang Pagar (Paya Jaras).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :