Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat kiri) bergambar bersama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga kiri) sewaktu perlawanan boling persahabatan Selangor dengan Terengganu di Kuala Lumpur Golf & Country Club KLGCC, Bukit Kiara pada 17 Julai 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Kerajaan Selangor, Terengganu jayakan perlawanan boling persahabatan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Barisan pimpinan Kerajaan Selangor dan Terengganu meluangkan masa mengadakan perlawanan boling persahabatan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), di sini, semalam.

Meski sibuk dengan tugas harian sebagai pemimpin, kedua-dua pasukan yang diketuai menteri besar masing-masing sempat mempamerkan kehandalan dan bakat bermain boling secara santai.

Perlawanan dalam suasana harmoni itu berakhir dengan kemenangan kepada Kerajaan Selangor dengan 3,600 jatuhan pin, manakala Kerajaan Terengganu menghasilkan 2,248 jatuhan pin.

Perlawanan boling persahabatan antara Selangor dengan Terengganu di Kuala Lumpur Golf & Country Club KLGCC, Bukit Kiara pada 17 Julai 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perlawanan boling persahabatan itu dianjur susulan keberadaan Kerajaan Terengganu di Kuala Lumpur sempena sesi Parlimen dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-266.

“Kebetulan kita semua berada di Kuala Lumpur kerana sesi Parlimen dan MRR. Jadi kita ambil kesempatan untuk rapatkan hubungan dengan majlis santai bersukan disamping berkenalan antara satu sama lain.

“Ini antara usaha untuk kita jalin hubungan akrab dengan negeri lain supaya kita boleh membina jambatan dan kerjasama jika diperlukan. Sebelum ini memang sudah ada, sebagai contoh bantuan bencana dan waktu-waktu tertentu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut bersetuju dengan kenyataan Amirudin dan berharap kedua-dua negeri dapat meneroka pelbagai bidang bersama.

“Banyak perkara yang boleh kita terokai bersama seperti pendidikan, pelancongan, sukan dan sebagainya. Ia menjadi medan untuk kita belajar bersama.

“Saya percaya ini merupakan permulaan yang baik dan mungkin selepas ini kita boleh adakan perbincangan dengan EXCO mengikut portfolio masing-masing,” katanya.


Pengarang :