Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pelaburan, Ng Sze Han (tiga, kanan) bergambar bersama selepas meyaksikan penukaran perjanjian persefahaman (MoU) di antara UMW Development Sdn Bhd dan Xinbo New Materials Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Miliki infrastruktur lengkap, sektor perkhidmatan berkembang kukuh di Selangor

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Sektor perkhidmatan menjadi tumpuan negeri dalam tempoh lima tahun mendatang sebagai langkah merangsang pertumbuhan ekonomi, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menumpukan industri semikonduktor dan digitalisasi, Dato’ Menteri Besar berkata matlamat itu mampu direalisasi kerana negeri ini miliki pelbagai kemudahan termasuk pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat.

“Kita sasarkan 30 peratus ekonomi di sektor pembuatan dan 60 peratus bidang perkhidmatan. Ini disebabkan kita miliki banyak infrastruktur termasuk rangkaian pengangkutan. Akan datang ada pula pelabuhan di Pulau Carey.

“Pelabuhan ini akan jadi megatrend pelbagai industri. Untuk semikonduktor, kita sudah ada taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bercadang menambah lagi pada masa akan datang.

“Peralihan kepada khidmat dalam talian juga sudah dilakukan dan ini merupakan kunci penting yang harus kita giatkan pada masa depan dalam usaha memacu ekonomi sekali gus mengekalkan negeri ini menjadi pilihan pelabur,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu beliau menjadi panel bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada sesi dialog khas sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tahun lalu, menerusi data dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Selangor merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM45 billion.

Sepanjang Januari hingga Jun, pentadbiran turut meluluskan 657 projek melibatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan nilai pelaburan berjumlah RM29.72 bilion.


Pengarang :