Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Padang Awam Batu Caves pada 14 mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dengkil, Selat Klang antara empat lokasi jualan murah barangan asas pagi ini

SHAH ALAM, 29 JULAI: Program jualan murah barangan dapur kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi, hari ini.

Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER) bertempat di Balai raya Kampung Chempaka (Bandar Utama), Surau Al-muqorrobin Taman Perkasa Fasa 2 (Dusun Tua), Balai raya Desa Putra (Dengkil) dan Dataran Flat Seri Perantau (Selat Klang).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :