EXCO Sukan Najwan Halimi (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop ketika majlis penyerahan sumbangan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Spekulasi rombakan EXCO jadi peringatan kepada pimpinan negeri

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 15 OGOS: Spekulasi mengenai rombakan dan penstrukturan semula yang digembar-gemburkan baru-baru ini menjadi ‘wake up call’ untuk barisan EXCO.

EXCO belia, sukan dan keusahawanan berkata ia menjadi peringatan untuk pimpinan negeri yang dilantik sejak setahun lalu supaya menjalankan tugas dan amanah dengan lebih baik.

“Semalam, Dato’ Menteri Besar pun memberitahu tidak akan ada berlaku rombakan, dan beliau selesa dengan pasukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ini.

“Saya rasa itu antara sebab untuk kita sebagai EXCO, pemimpin untuk memberikan fokus, tumpuan kepada tugas untuk menjayakan agenda negeri Selangor,” kata Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata demikian pada temubual dalam program siaran langsung audio siar Apa Cer YB Musim 2 semalam.

Mohd Najwan bagaimanapun berkata pengumuman Dato’ Seri Amirudin Shari itu bukan tiket untuk pimpinan yang kekal dipilih berasa selesa, sebaliknya perlu lebih berdedikasi dalam agenda pembangunan negeri.

“Sebab selepas daripada pilihan raya, rakyat memilih kita bukan untuk kita tidak bekerja tetapi untuk kita memberikan perkhidmatan dan juga tumpuan serta tugas di negeri Selangor,” ujarnya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan pentadbiran Selangor sedang mempertimbang merombak barisan EXCO bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan negeri melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan DAP.

Penggantian dijangka pada akhir bulan ini atau September bukan disebabkan EXCO sedia ada tidak menjalankan tugas dengan baik sebaliknya memberi peluang kepada individu yang lebih berpengalaman.

Amirudin bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menyatakan tiada rombakan barisan EXCO dilakukan setakat ini memandangkan Selangor memiliki pasukan yang mantap.

Katanya, barisan EXCO menjalankan tanggungjawab dengan baik dan bekerjasama antara satu sama lain namun perlu memperbaiki prestasi masing-masing.


Pengarang :